Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Syaherah Azmi
KUANTAN, 29 OGOS 2025 : Seminar Penyusuan Susu Ibu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa wanita di negeri ini di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang yang merangkumi sepuluh bidang utama.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti hidup wanita serta kanak-kanak di Pahang.
“Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang 2022-2026 merupakan usaha jangka panjang Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup wanita serta kanak-kanak.

“Dimana dasar dan pelan ini menjadi inisiatif strategik untuk memperkasa wanita secara menyeluruh, merangkumi sepuluh bidang utama iaitu pendidikan, keusahawanan, kesihatan, kekeluargaan, agama, pekerjaan, seni budaya dan warisan, undang-undang, teknologi, serta kepimpinan.
“Seminar ini juga merupakan bukti komitmen kluster kesihatan dalam memperkukuhkan jaringan sokongan kepada para ibu khususnya kerana tanpa disedari merekalah tonggak utama dalam pelaksanaan penjagaan kesihatan sepanjang 1,000 hari pertama kehidupan anak-anak kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa inisiatif Kerajaan Negeri Pahang berkait rapat dengan kesejahteraan wanita, keluarga dan kanak-kanak yang dilaksanakan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM300 untuk bayi yang dilahirkan di Negeri Pahang. Walaupun ibu dan bapa bukan kelahiran Negeri Pahang tapi melahirkan (anak) di Negeri Pahang, mereka layak mendapat atau menyertai program ini.
“Kita namakan inisiatif ini sebagai Permata Makmur dimana dari RM300 itu, RM50 diberikan dalam bentuk barangan bayi dan RM250 dalam simpanan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) kepada bayi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Penyusuan Susu Ibu yang berlangsung di Auditorium SASMEC@IIUM, Kuantan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, Dato’ Sri Maznah Mazlan; Pengerusi PUSPANITA Negeri Pahang, Datin Sri Noorhayati Ismail; dan Ketua Kluster Kesihatan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang yang juga Penaung Minggu Penyusuan SASMEC @ IIUM, Prof. Dato’ Dr. Hamizah binti Ismail. -PAHANGMEDIA

