Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 OGOS 2025 : Seramai 129 individu telah ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub (Ops Sekat) yang dilaksanakan sejak 25 April tahun lepas melibatkan pelbagai kesalahan.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebahagian daripada mereka juga telah dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
“Untuk makluman, Ops Sekat telah mula dilaksanakan sejak 25 April 2024, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun.
“Sebahagian daripada mereka telah dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan. Hukuman ini adalah amaran jelas bahawa Negeri Pahang tidak akan sesekali tunduk kepada penceroboh,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau Hutan Simpan Kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya.
“Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub atau Ops Sekat kini memasuki Fasa 4 bermula 21 Julai 2025. Sehingga kini, lebih 25,000 ekar kawasan durian haram telah disekat laluan keluar masuk, manakala 260 ekar tanaman durian haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom telah ditebang.
“Hasil operasi ini, seramai 45 individu telah ditahan, melibatkan 20 kes kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata. Tangkapan ini membuktikan pendirian jelas Kerajaan Negeri yang tidak berlembut dengan mana-mana pihak yang berdegil menceroboh tanah kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara dan sebarang cubaan menceroboh akan dikenakan tindakan paling tegas tanpa pengecualian.
“Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Kerjasama ini memperkukuh tindakan Kerajaan Negeri dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh.
“Kerajaan Negeri mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara. Sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian,” katanya. -PAHANGMEDIA

