Oleh : Norhafizan Zulkifli & Syaherah Azmi
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 20 OGOS 2025 : Penganjuran Jelajah Aspirasi Pahang1st disifatkan sebagai pendekatan sebenar wakil rakyat Kerajaan Negeri dalam mendekati rakyat, berbanding sekadar mengadakan himpunan besar-besaran.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jelajah berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada barisan pimpinan Kerajaan Negeri turun padang, malah mendengar sendiri denyut nadi rakyat dan dalam masa sama menyelesaikan masalah mereka mengikut keperluan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inilah kerja-kerja wakil rakyat kerajaan yang ada pada hari ini. Kita tidak ada masa mengadakan himpunanlah, ‘hogoh’lah dan sebagainya.
“Kita cuma ada masa untuk bertemu dengan rakyat dan kita bantu mana yang perlu. Mana yang boleh bantu jangka masa pendek, kita bantu jangka masa pendek.

“(Bagi) Jangka masa panjang, jangka masa sederhana… ada permohonan-permohonan mana yang Tok Wan boleh luluskan serta merta Tok Wan bagi, mana yang tidak, kita bawa ke pejabat ataupun Tok Wan panjangkan kepada pihak yang berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi Walkabout dan Minum Petang bersempena Jelajah Aspirasi Pahang1st bertempat di Dataran Niaga Karak, di sini hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh dan barisan pimpinan setempat.

Dalam sesi berkenaan, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut meluangkan masa bertemu peniaga dan orang ramai, selain beramah mesra sambil mencuba pelbagai juadah yang terdapat di dataran berkenaan.
“Tok Wan ambill kesempatan untuk pergi ke Dataran Karak untuk berjumpa dengan penjual, pembeli. Tok Wan singgah makan roti canai, tosei… Tok Wan sempat buat roti canai. Bukan senang rupanya buat roti canai ini tapi yang penting masak lah.

“Alhamdulillah nampaknya perniagaan di sini berjalan dengan baik. Maknanya ada orang datang, ada pengunjung dan ekonomi kita berada dalam keadaan baiklah bila ada orang berniaga, ada pembeli.
“Jadi Alhamdulillah bukan sahaja orang Melayu, orang Cina, India pun ada. Inilah semangat yang ada di negeri kita, semangat perpaduan di antara kaum. Saya harap perkara ini dapat diteruskan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

