Oleh : Norhafizan Zulkifli & Syaherah Azmi
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 20 OGOS 2025 : Seramai 120 penduduk Kampung Karak Setia, di sini, kini mampu menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membina projek tebatan banjir sementara sepanjang kira-kira 500 meter dengan kos RM200,000.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan menjadi penyelesaian segera bagi menghalang kemasukan air sungai ke kawasan kampung sekali gus melindungi rumah-rumah penduduk daripada ditenggelami banjir.

“Tok Wan tengok tebatan banjir sementara lebih kurang 500 meter dengan kos lebih kurang RM200,000. Boleh menghalang air masuk ke Kampung Karak Setia. Ada lebih kurang 120 buah rumah (terlibat). Boleh menyelesaikan sementara (masalah banjir),” katanya ketika melakukan lawatan ke tapak projek pemuliharaan sungai di kampung berkenaan bersempena program Jelajah Aspirasi Pahang1st, di sini hari ini.

Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh serta barisan pimpinan setempat.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah untuk penyelesaian jangka masa panjang pembinaan tebatan banjir di lokasi berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

“Untuk jangka masa panjang, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan RM400 juta yang akan dibuat secara berfasa.
“Sementara ini kita buat untuk jangka masa pendek dahulu. Dah selesai siap dengan ketinggian lebih kurang tiga meter,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

