Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 20 OGOS 2025 : Seramai 13 pelajar lepasan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang menerima geran penajaan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang berjumlah RM10,000 seorang bagi melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam di Morocco.
Penyerahan geran itu disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Lobi Majlis Perbandaran Bentong (MPB), di sini hari ini.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan memaklumkan bahawa penghantaran pelajar terbabit ke Morocco adalah hasil rundingan yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan tempat pengajian di sana.
“Sebelum itu Tok Wan ucapkan syabas dan tahniah kerana berjaya pergi ke Morocco. Tok Wan dan YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang) dan YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang) dah sampai ke Morocco. Alhamdulillah tempatnya elok, sesuai untuk belajar.

“Pemergian ke sana adalah untuk berjumpa Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Islam Morocco di mana kita telah berunding untuk mendapatkan tempat,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
Beliau menegaskan, penghantaran pelajar ke luar negara membuktikan Kerajaan Negeri mampu menaja hasil daripada pengurusan kewangan negeri yang baik.
“Kerajaan Negeri Pahang menghantar pelajar-pelajar ke Mesir, ke Jordan, ke Morocco. Pergi untuk belajar adalah tajaan Kerajaan Negeri… Kerajaan Negeri bagi sumbangan dan ini boleh dilaksanakan kerana negeri kita diurus dan ditadbir dengan baik. Kita ada sumber kewangan dan salah satunya kita hantar pelajar kita ke luar negara,” katanya lagi.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan pelajar agar sentiasa menjaga keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi serta tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih.
Beliau turut mengingatkan kepada pelajar agar sentiasa berhubung dengan keluarga di tanah air selain berharap mereka mendoakan kesejahteraan pimpinan Kerajaan Negeri dalam mengurus dan mentadbir Pahang.

“Jangan lupa hantar berita kepada ibu bapa di kampung. Sekarang ini zaman canggih, hantar mesej ke Whatsapp ke, macam-macamlah. Hantar berita ke kampung, ke keluarga dan tanya perkembangan di negeri Pahang macam mana. Negeri Pahang negeri kita, tidak ada orang sayangkan Pahang ini melainkan kita sebagai anak Pahang.”
“Tolong doakan juga kita di Pahang terutama Kerajaan Negeri dan semualah pegawai-pegawai yang ada ini supaya sentiasa diberi ilham, diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk mengurus dan mentadbir Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.
Dalam pada itu, kesemua pelajar terbabit merupakan kumpulan pertama yang ditawarkan pengajian di Universiti Al-Qarawiyyin, Morocco hasil rundingan lawatan kerja YAB Menteri Besar ke negara tersebut pada Februari 2024 bersama Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Islam Morocco, Sayyid Ahmad At-Taufia.
Daripada jumlah keseluruhan 15 kuota yang diperoleh Negeri Pahang, lima pelajar ditaja penuh termasuk yuran pengajian dan sara hidup, manakala 10 pelajar lagi menerima tajaan yuran pengajian daripada kerajaan Morocco dan sara hidup daripada Yayasan Pahang.
Bagi pengambilan baharu tahun 2025, seramai 13 pelajar berjaya melanjutkan pengajian di empat kampus iaitu Maahad Muhammad As-Saadis, Rabat; Massasah Dar Al-Hadith Al-Hasaniyyah, Rabat; Madrasah Al-Ulum Al-Islamiyyah, Casablanca; dan Jamie’ A-Qarawiyyin, Fes.-PAHANGMEDIA

