Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bakal muncul sebagai Hab Maritim serantau melalui pembinaan Kompleks Hybrid Shipyard di Tanjung Agas di Pekan pada April tahun hadapan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, projek ini juga dijangka mampu mewujudkan sehingga 25,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khususnya.
“Kita baru sahaja selesai menandatangani Memorandum Perjanjian antara PSK (Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang) dengan Teroka Majubina Holdings Berhad. Saya difahamkan projek ini akan bermula lebih kurang lapan bulan dari sekarang. Kalau boleh diawalkan lagi baik.
“Nilai pelaburan RM 75 billion dan akan mewujudkan peluang pekerjaan seramai 25,000 orang. Projek ini di daerah Pekan dan projek ini sangat strategik dan kita mengalu-alukan kehadiran projek ini di bumi Pahang, kerana banyak faedahnya yang akan kita peroleh selain daripada peluang pekerjaan. Ini juga boleh menambahkan peluang-peluang ataupun limpahan ekonomi kepada Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Projek Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Sunway Putra Hotel.
Beliau berkata projek yang dijangka siap pada 2029 ini melibatkan kawasan seluas 408.92 hektar akan dibangunkan secara berfasa yang merangkumi tiga komponen utama pembangunan.

“Luas kawasan lebih kurang 1,000 ekar (1,010.47 ekar) yang akan dibangunkan di Tanjung Agas, Pekan, Pahang yang (pembangunannya) bermula lebih kurang lapan bulan dari sekarang.
“Tapi saya minta Prof Dato’ Dr Haji Irmohizam (Pengarah Eksekutif Teroka Majubina Holdings Berhad) percepatkan. Kalau bermula awal akan cepat siap, kalau bermula lambat, lambatlah siap, 2029 dijangka siap,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang melalui Invest Pahang merupakan negeri mesra pelabur yang mengurangkan karenah birokrasi dan bagi menarik kehadiran pelabur di negeri ini.
“Di Kerajaan Negeri, kita ada Invest Pahang. Kita adalah satu negeri yang mesra pelabur dan saya selalu ingatkan kepada kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, PSK, supaya kita permudahkan.
“Tetapi tidak bermakna kita berkompromi dengan peraturan yang ada, cuma kita permudahkan, fast track. Kita kurangkan karenah birokrasi kerana kita tahu pelabur ini dia ada pilihan. Sekiranya kalau banyak sangat karenah-karenah birokrasi ini, boleh menyebabkan mereka pergi ke tempat lain. Kita nak tarik supaya pelabur-pelabur datang ke Negeri Pahang,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang hari ini, melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai pelaburan sebanyak RM75 bilion bersama Teroka Majubina Holdings Berhad bagi perjanjian pajakan pembangunan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan, Pahang. -PAHANGMEDIA

