Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai pelaburan sebanyak RM75 bilion bersama Teroka Majubina Holdings Berhad bagi perjanjian pajakan pembangunan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan, Pahang.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin, manakala Teroka Majubina Holdings Berhad pula diwakili Pengarah Eksekutifnya, Prof Dato’ Dr Haji Irmohizam Ibrahim.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PSK Pahang, YH. Dato Aida Munira Abdul Rafar dan Pengarah Teroka Majubina Holdings Berhad, Encik Wan Putera Shahjuan Wan Shalihudin.

Turut berangkat bagi menyaksikan majlis perjanjian berkenaan, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; diiringi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Projek Kompleks Hibrid Shipyard Tanjung Agas di Sunway Putra Hotel.
Projek berimpak tinggi yang melibatkan kawasan seluas 408.92 hektar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas akan dibangunkan secara berfasa yang merangkumi tiga komponen utama pembangunan dan dijangka mampu mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan.
Melalui Kompleks Hybrid Shipyard yang dijangka siap pada 2029 ini, Pahang dilihat dapat menjadi Hab Maritim serantau, Pusat Kitar Semula Kapal Berteknologi Hijau serta Hab Minyak dan Gas yang berdaya saing di rantau ini. -PAHANGMEDIA

