Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah meminta pemilik Pusat Ekuestarian Pahang iaitu YP Land untuk menyiasat secara terperinci setiap dakwaan yang timbul berkaitan pengurusan kuda serta menyelesaikan isu ini dengan segera.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, beliau mengambil serius laporan yang tular di media sosial berkenaan isu ini.

“Saya memandang serius segala laporan di media dan juga sosial media mengenai keadaan kuda dan Pusat Ekuestrian Pahang di Tanjung Lumpur ini. Sebab itu saya mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Ekuestrian Pahang pada hari ini.
“Dan sebetulnya pusat ini adalah milik YP Land dan diuruskan oleh pihak ketiga ataupun pengusaha iaitu A&M EquinElite Management (AMEM) dan serentak dengan itu saya telah meminta pihak YP Land untuk menyiasat secara terperinci setiap dakwaan yang timbul dan menyelesaikan dengan segera isu ini.

“Dan saya selaku Exco yang bertanggungjawab kepada bidang sukan di negeri ini akan mendapatkan jawapan segera daripada pihak YP Land untuk menyusun tindakan yang boleh diambil oleh pihak YP Land dan juga pihak pengusaha dengan kadar yang segera,” katanya.
Beliau turut meminta pihak pengurusan pusat ini untuk mengambil tindakan segera bagi membaikpulih keadaan Pusat Ekuesterian Pahang serta melakukan pemantauan secara berkala.

“Dan saya juga telah meminta pihak ketiga atau pengusaha ini agar mengambil tindakan segera yang lain bagi membaikpulih keadaan sedia ada.
“Pada masa yang sama, saya juga telah meminta pihak YP Land selaku pemilik pusat enkuestrian ini untuk memantau secara rapat segala perkembangan yang berlaku di pusat ini termasuk mengadakan lawatan secara mingguan disini,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial berkenaan kematian tiga ekor kuda di pusat berkenaan yang dikatakan berpunca daripada pengurusan yang kurang baik oleh pihak pengurusan. -PAHANGMEDIA

