Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang meminta premis Kerajaan dan swasta di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang bermula esok di sempena sambutan bulan kebangsaan.
Menurut surat edaran yang dikeluarkan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, pemasangan dan pengibaran bendera ini akan bermula pada 25 Julai sehingga
16 September ini.
“Tuan/Puan adalah dimohon untuk bersama-sama menyertai Program Pengibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang dengan pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang di premis masing-masing pada 25 Julai 2025 sehingga 16 September 2025.
“Sukacita diingatkan, bahawa Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Seharusnya ia dipasang dan dipastikan berada dalam keadaan yang baik.
“Sekiranya terdapat bendera yang telah koyak atau telah pudar maka penggantian hendaklah dibuat dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata diharapkan dengan pengibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang di premis di negeri ini akan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini. -PAHANGMEDIA

