Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 JULAI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan memasyhurkan Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pemasyhuran nama berkenaan bersempena keberangkatan Paduka Baginda ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid UniPSAS Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-66, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj; dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam titahnya, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan penghormatan terhadap Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah, yang telah mencetuskan usaha awal pembinaan masjid berkenaan dengan mendapatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM10 juta.
“Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana Almarhum Paduka Ayahanda telah berusaha mendapatkan peruntukan kerajaan untuk pembinaan masjid ini. Bahkan, Almarhum mencemar duli menyaksikan kerja-kerja awal pelaksanaannya.
“Tindakan tersebut menjadi bukti nyata akan cinta dan harapan tinggi Almarhum terhadap pendidikan Islam serta kesejahteraan rohani generasi mendatang di negeri tercinta ini,” titah Paduka Baginda.

Baginda turut menyuarakan harapan agar masjid yang tersergam indah di lokasi strategik itu dapat menjadi mercu tanda keunggulan nilai-nilai Islam yang berteraskan ilmu, amal dan akhlak.
“Masjid ini hendaklah dijadikan pusat kecemerlangan dakwah; bukan hanya di kampus, tetapi merangkumi masyarakat sekeliling. Biarlah ia hidup dengan kuliah, diskusi, pengajian dan kebajikan. Hidup dengan roh yang mengalirkan hikmah dan menyuburkan akal serta jiwa,” titah Paduka Baginda lagi.
Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang dibina dalam kawasan kampus UniPSAS dijangka berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu Islam, penyebaran dakwah serta pemangkin pembangunan rohani mahasiswa dan masyarakat setempat. -PAHANGMEDIA

