Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 JULAI 2025 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah mengeluarkan 42 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada para peruncit di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0.
Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang, Encik Mohd Hafiz Ramli, operasi bermula 1 Julai sehingga semalam melibatkan 210 unit unit simpanan stok (SKU) barangan bagi tujuan pengumpulan data dan analisa harga.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang meneruskan pelaksanaan OPS KESAN 4.0 dengan lebih tegas bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara tidak munasabah susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
“Tindakan pemantauan dijalankan ke atas premis perniagaan termasuk pasar raya, kedai runcit dan penyedia perkhidmatan terpilih. Sepanjang tempoh pelaksanaan OPS KESAN 4.0 dari 1 hingga 23 Julai 2025, sebanyak 42 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan kepada para peruncit di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang melibatkan 210 unit SKU barangan bagi tujuan pengumpulan data dan analisa harga.
“Hasil daripada penyerahan notis NPMB tersebut, 1 Notis Bertulis (NB) telah dikeluarkan melibatkan 3 SKU barangan yang dikenal pasti mempunyai elemen kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan ini turut memberi tumpuan khusus kepada barangan keperluan asas utama melibatkan ayam standard 1 kilogram (kg), daging lembu tempatan, tepung gandum (1kg), sardin dalam tin, krimer pekat manis, dan roti putih.
Tambah beliau, pihak KPDN juga menggalakkan orang ramai untuk melaporkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak munasabah melalui talian khas yang disediakan.
“Pihak KPDN telah menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-665 4292 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak munasabah.
“Seiring dengan inisiatif KITA GEMPUR, KPDN menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah dan tidak mematuhi perundangan yang ditetapkan di bawah AKHAP 2011.
“Orang ramai digalakkan untuk memainkan peranan aktif dalam membantu Kerajaan memastikan harga barangan dan perkhidmatan kekal munasabah serta tidak membebankan pengguna. Sekiranya didapati berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak munasabah, orang awam boleh melaporkan melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN,” katanya. -PAHANGMEDIA

