Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 JULAI 2025 : Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan Titah Addendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak wajar dilaksanakan setelah kewujudannya diakui oleh pihak pendakwaan.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang turut menjunjung kasih atas perkenan mengabsahkan Titah Addendum berkenaan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang terlebih dahulu menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah atas perkenan mengabsahkan Titah Addendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Perkara tersebut turut diperjelas melalui warkah rasmi baginda yang diutuskan kepada YB Dato’ Mohd Nizar Najib, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga anakanda kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 2 Disember 2024.
“Warkah baginda secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang telah dikemukakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO serta YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Naib Presiden UMNO, dalam prosiding mahkamah terdahulu, yang sebelum ini telah diketepikan atas alasan “hearsay”,” katanya.
Beliau berkata Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang turut menyambut baik dan menyokong kenyataan yang dikeluarkan 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara berkenaan perkara ini.
“Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan bahawa dengan wujudnya Titah Addendum yang telah diakui oleh pihak pendakwaan, maka adalah wajar titah tersebut dilaksanakan.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang turut menyambut baik serta menyokong kenyataan yang telah dibuat oleh 160 Ketua-ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang memohon agar Kerajaan melaksanakan Titah Addendum tersebut,” katanya.
Tambah beliau, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang melahirkan penghargaan terhadap keterbukaan dan kesediaan YAB Perdana Menteri mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keterbukaan dan kesediaan YAB Perdana Menteri untuk bertemu dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur. -PAHANGMEDIA

