Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 21 JULAI 2025 : Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447H/2025M yang berlangsung hari ini disifatkan sebagai simbol budaya kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program seperti ini turut menggambarkan kekuatan masyarakat Islam di negeri ini dalam menyantuni agama, mempererat silaturrahim dan menghidupkan sunnah kehidupan berjemaah.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutamanya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pihak urus setia dan seluruh masyarakat yang hadir dengan semangat kasih sayang dan kekitaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian karnival berkenaan bertempat di Surau Kampung Paya Laman, Lanchang, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah JAIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Inisiatif Makmur Pahang (I.M PAHANG) di bawah program Baraqah Haji Pahang kepada 46 orang jemaah haji yang lewat menerima surat tawaran pada tahun ini dengan setiap penerima masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM750 daripada Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, meskipun terlewat tapi kita tetap laksanakan tanggungjawab menyerahkan RM750 ringgit kepada tuan tuan dan puan-puan,” ujarnya.
Sebanyak 33 pasukan telah menyertai pertandingan memasak bubur Asyura pada karnival kali ini yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO, masjid, sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Pasukan dari Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut diumumkan sebagai johan bagi kategori jabatan kerajaan, badan berkanun, Pejabat Agama Islam Daerah, sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT); manakala kategori agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masjid qariah dimenangi oleh Masjid Lipat Kajang, Temerloh.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian dengan menjadikan ilmu dan nilai agama sebagai asas dalam membina masa depan yang lebih gemilang.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita telah buktikan bahawa kita bekerja bukan sekadar dengan berkata-kata. Kita laksanakan dasar secara terancang, berkesan dan berhemah. Bukan dengan sekadar gimik agama untuk menagih simpati undi.
“Oleh itu saya menyeru, marilah kita bersatu mempertahankan Pahang. Bersama kita perkukuh perpaduan. Kita tolak politik sempit yang menanam fitnah dan kebencian. Kita jaga negeri ini dengan semangat kasih sayang, ilmu dan taqwa,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

