Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 21 JULAI 2025 : Satu perbincangan dua hala antara Ketua Pengarah Kerja Raya dan Kerajaan Negeri Pahang telah diadakan di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong hari ini bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan jalan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, perbincangan ini adalah satu pendekatan terbaik bagi menyelesaikan pelbagai isu secara holistik, bukan hanya melibatkan aspek teknikal tetapi juga perkara lain seperti isu tanah yang memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR kerana dimaklumkan bahawa terdapat sebanyak 257 projek untuk Negeri Pahang yang sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat.

“Daripada jumlah itu, 105 projek berada di peringkat pra-pembinaan, 100 projek dalam pembinaan, 4 projek di peringkat kerja-kerja awal, dan 48 projek telah siap,” katanya kepada Pahang Media selepas selesai perbincangan tersebut.
Perbincangan dua hala terbabit turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam dan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Roslan Ismail.
Tambahnya, jumlah tersebut merangkumi keseluruhan negeri dan tidak terhad kepada projek-projek di bawah pakej Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) sahaja.
Sementara itu, YB. Dato’ Amizar pula berkata, antara fokus utama perbincangan ialah berkaitan penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan serta infrastruktur, khususnya di kawasan Bentong.

“Lawatan ini turut memberi tumpuan kepada sambungan projek Lebuh Raya LTU Pakej 6. Beberapa kajian telah dijalankan dan pihak JKR akan membuat pengumuman lanjut berkaitan beberapa pakej LTU yang telah dipersiapkan di peringkat kementerian,” ujarnya.
Menurut beliau, antara aspek yang diteliti dalam lawatan tersebut ialah jajaran sepanjang 35 kilometer melibatkan laluan FT09 termasuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penstabilan cerun.
“Projek ini sangat penting untuk menyelesaikan isu kesesakan yang sering berlaku, khususnya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu. Ia juga dilihat sebagai laluan alternatif penting yang menghubungkan Pantai Timur ke Putrajaya dan Negeri Sembilan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

