Oleh: Norhafizan Zulkifli
RAUB, 17 JULAI 2025 : Seorang pengusaha pasir didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengekstrak bahan batuan jenis pasir biasa secara haram di tanah Kerajaan Negeri di Sungai Ara, Mukim Gali, Daerah Raub, dua tahun lalu.
Tertuduh, Chang Chee Onn, 67, membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain memerintahkan kesemua jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthak kepada Kerajaan negerri.
Menurut fakta kes, berdasarkan risikan dan serbuan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada pada 9 Disember 2023 kira-kira jam 2.45 petang di kawasan berkenaan telah mendapati sebuah jengkaut berwarna jingga sedang menjalankan aktiviti mengekstrak pasir sungai, yang kemudiannya dipindahkan ke dalam dua buah lori tipper.
Semakan mendapati aktiviti pengekstrakan dilakukan di luar kawasan permit yang dibenarkan, dan tertuduh dikenal pasti sebagai individu yang mengarah serta mengurus operasi pengambilan pasir dari tanah kerajaan ke kawasan permit sah.
Pemeriksaan lanjut dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub mengesahkan bahawa lokasi tangkapan merupakan tanah kerajaan serta tiada sebarang permohonan permit atau kelulusan untuk aktiviti tersebut.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula mengesahkan bahawa bahan batuan yang diekstrak merupakan pasir biasa, melalui sampel yang diambil di lokasi kejadian pada 10 Januari 2024.
Turut disita dalam operasi tersebut ialah dua lori tipper model Hino dan model Nissan serta sebuah jengkaut model Hitachi.
Tertuduh justeru didakwa di bawah Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) Akta 828, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Taqiuddin Azizan yang memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, memandangkan kesalahan ini menyebabkan kerugian dan ketirisan kepada hasil Kerajaan Negeri berikutan aktiviti ini tidak membayar royalti yang sepatutnya kepada Kerajaan Negeri.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan sudah berusia, tidak mempunyai pekerjaan tetap serta menanggung seorang isteri dan anak.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar, serta meluluskan permohonan lucuthak semua jentera yang terlibat kepada Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

