Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang & Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 JULAI 2025 : Aspirasi Pahang 1st bukan sekadar satu slogan, sebaliknya ia merupakan dasar negeri yang menjadi tunjang kepada hala tuju pembangunan dan pentadbiran negeri sejak awal pentadbiran kerajaan kini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aspirasi tersebut adalah satu wawasan, semangat dan gagasan yang berakar daripada jati diri ke Pahang serta digerakkan oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Dengan mencipta slogan Pahang 1st di mana pengisiannya seperti mana yang dalam ucapan saya, iaitu institusi rajanya, Islamnya, budayanya… di mana kita terapkan ketiga-tiga ini dan kita terapkan dalam perkhidmatan.
“Saya menyentuh juga perkhidmatan awam, belia, warga emas, ibu, kaum ibu, wanita dan sebagainya. Dan kita rangkumkan semua sekali supaya kita semua dapat menjiwai dan mencintai negeri Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Aspirasi Pahang 1st bertempat di Dewan Tertutup SUKPA, di sini hari ini.
Majlis turut hadir YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tambahnya, dalam usaha memperkukuh agenda Pahang 1st, kerajaan negeri akan menubuhkan Akademi Pahang 1st sebagai platform rasmi untuk memperkasakan pengisian dan kefahaman terhadap aspirasi ini secara sistematik.

“Selepas pada ini, kita tubuh Akademi Pahang 1st. Daripada situ secara formalnya, kita akan tanamkan pengisian apakah yang dimaksudkan dengan Pahang 1st.
“Itu yang formal. Secara tidak rasminya, secara informal, kita akan bagi penerangan. Mungkin dalam ucapan, dalam pamphlet dan sebagainya,” jelasnya.
Katanya lagi, ucapan beliau pada majlis hari ini boleh dijadikan panduan kepada semua pihak dalam memahami secara menyeluruh tentang maksud sebenar Aspirasi Pahang 1st.
“Kita ingin ke hadapan, bergerak ke hadapan dengan keadaan dunia yang mencabar sekarang ini.
“Kita kena ada semangat yang kuat, semangat yang jitu supaya kita boleh membawa negeri kita ke hadapan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

