Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 9 JULAI 2025 : Penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah ini bakal berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 11.00 malam ini hingga jam 11.00 pagi esok berikutan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan segera di Rumah Pam Kobat.
Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut melibatkan pemeriksaan dan baik pulih kesemua instrumen penting di rumah pam berkenaan dan perlu dilaksanakan segera sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar terhadap pengoperasian loji pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu dijangka mengambil masa selama 12 jam dan pihaknya akan berusaha sedaya upaya bagi meminimumkan tempoh gangguan.
Menurutnya, persediaan awal turut dilaksanakan bagi memastikan gangguan dapat dikawal sebaik mungkin.



Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor meliputi MCKIP, Maritim, Bandar Damansara, Taman Dato’ Rashid, Batu Hitam, Kampung Darat Sekolah, Jeram, Sungai Karang Maju, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Chengal Lempong, Balok, Seberang Balok, Sungai Ular, Pelabuhan, Cherating dan Kubang Ikan.
Selain itu, kawasan industri Gebeng Fasa I, II, dan III, kawasan Pelabuhan, Jalan Jabor, Kampung Alor Batu Jabor, Jalan Semambu, Politeknik Semambu, kawasan perumahan dan industri Semambu, serta Jalan Tengku Muhammad turut terkesan.
Turut mengalami gangguan ialah kawasan Teluk Sisek, Pejabat Ukur, Jalan Beserah, Alor Akar, Sri Kuantan, Kubang Buaya, Teluk Chempedak, Istana Mahkota Teluk Sisek, Tanjung Api, Taman Gelora, Padang Lalang, Taman Selamat, Tembeling Resort dan Kelab Golf Diraja.
Kawasan lain yang turut terlibat ialah Bukit Sekilau, Jalan Bukit Ubi, Jalan Kenanga, Taman Bukit Ubi, Taman Sungai Charu, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Haji Ahmad, Galing, Setali, Air Putih, Taman Fairmount, Bukit Beirut, Jalan Bukit Setongkol, Bukit Setongkol dan Cenderawasih.
Tidak ketinggalan, kawasan RTP Bukit Goh, Bukit Goh Gen 2, Bukit Goh Perdana, Bukit Kuantan, sebahagian Tanjung Pasir, Indera Mahkota, Kampung Tiram, Tiram Perdana, Taman Shahzan, Taman Radiance, KOMTUR, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, SBPI, Ibu Pejabat PAIP, Terminal Sentral, Bomba Indera Mahkota dan Widad turut tersenarai antara kawasan terlibat.
Katanya lagi, bekalan air dijangka akan disalurkan kepada pengguna secara berperingkat setelah kerja-kerja selesai dan sistem agihan air distabilkan. Bagaimanapun, tempoh pemulihan bekalan mungkin berbeza mengikut jarak lokasi dan tekanan dalam sistem agihan air.
“Sehubungan itu, PAIP akan menyediakan bantuan alternatif melalui penghantaran lori tangki air dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan premis lain yang memerlukan bekalan air secara berterusan.
“PAIP berharap pemakluman awal ini dapat memberikan ruang kepada pengguna untuk membuat persediaan dengan menyimpan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
“PAIP juga memberi jaminan bahawa segala usaha sedang digiatkan agar kerja-kerja penyelenggaraan ini berjalan lancar dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) menerusi talian 09-573 9999 yang beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.-PAHANGMEDIA

