Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang meraikan kecemerlangan anak didik dari komuniti Orang Asli di negeri ini melalui pelaksanaan Majlis Perasmian Karnival Apa Khabar Orang Kita dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli 2025.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penganjuran majlis ini merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap kecemerlangan komuniti Orang Asli dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, kepimpinan, dan pembangunan insan.

“Majlis ini diadakan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang serta kolaborasi bersepadu bersama rakan-rakan strategik agensi kerajaan negeri dan persekutuan dengan tujuan meraikan kecemerlangan terutamanya murid dari kalangan komuniti Asli dalam akademik dan kokurikulum.
“Selain itu juga, melalui majlis ini, kita akan meraikan kecemerlangan sekolah-sekolah murid Asli dan ikon-ikon masyarakat Asli dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, keusahawanan, kepimpinan dan keagamaan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang turut melancarkan program Pahang Emerging Indigenous School Leaders (PEISL) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) yang bertujuan untuk memupuk kumpulan pemimpin yang berdedikasi dari kalangan komuniti Orang Asli di negeri ini.
“Program ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bertujuan untuk menyediakan barisan pemimpin di kalangan Orang Asli yang akan mentadbir dan mengurus sekolah-sekolah masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang.

“Dengan menyediakan platform latihan dan pembangunan profesional, guru-guru berpotensi dapat dipersiapkan sebagai pemimpin sekolah yang mampu memacu transformasi pendidikan dalam komuniti mereka,” katanya.
Tambah beliau lagi, penyediaan platform pembelajaran dan pertumbuhan profesional ini juga dapat melahirkan pemimpin yang berkeupayaan memacu transformasi pendidikan dalam komuniti masing-masing.
“Dengan menyediakan platform untuk pembelajaran dan pertumbuhan profesional, pendidik berpotensi boleh dipersiapkan sebagai pemimpin sekolah yang mempunyai kapasiti untuk memacu transformasi pendidikan dalam komuniti masing-masing,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Karnival Apa Khabar Orang Kita dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli 2025 di Yayasan Pahang.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah; dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin. -PAHANGMEDIA

