Oleh : Norhafizan Zulkifli
CAMERON HIGHLANDS, 22 JUN 2025 : Inisiatif Kerajaan Negeri Pahang membina rumah di bawah insentif Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang membuka ruang buat anak-anak negeri ini memiliki rumah sendiri.
Bagi wakil penerima kunci PR1MA Pahang Tanah Rata, G. Sanda, 61, berkata, tanpa inisiatif berkenaan akan menyukarkan impian anak Pahang untuk memiliki sebuah rumah yang selesa dan luas pada harga mampu milik.

“Saya gembira bagi pihak anak saudara saya kerana dapat memiliki rumah sendiri. Memang dia tak ada rumah lain.
“Memang Kerajaan Negeri tolong banyak kerana susah untuk dapatkan rumah sendiri. Rumah pun cantik. Memang berpuas hati. Rumah pun besar,” katanya.
Difahamkan anak saudaranya yang kini menetap dan bekerja di Kuala Lumpur merancang untuk berpindah dan menetap di Cameron Highlands berikutan sudah memiliki rumah sendiri di kampung halamannya itu.

Bagi seorang lagi pemilik, Mohd Aisamuddin Mohd Ariffin, 40 pula, dia yang masih belum berumahtangga tidak menyangka dapat memiliki rumah PR1MA Pahang kerana menyangka ia hanya untuk yang sudah berkahwin.
“Sebelum ini memang ada persepsi (untuk yang berkahwin sahaja) itu, tetapi saya mohon sahaja, saya berserah. Kalau dapat, itulah rezeki.
“Memang tak sangka jugalah (dapat) sebab ingatkan untuk mereka yang berkahwin sahaja. Saya cuma mencuba nasib, rupanya ada juga untuk orang bujang,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Tambahnya, dia telah membuat permohonan di laman sesawang yang disediakan sejak sekitar 2019 dan dimaklumkan layak memiliki rumah berkenaan sekitar dua tahun kemudian.
“Saya ingin memgucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, LPHP (Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang), SUK (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri), terutamanya buat Tok Wan (YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) dan exco kesemuanya kerana memberi peluang untuk saya memiliki rumah ini,” katanya.

Mohd Aisamuddin yang merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malayisa (KKM) dikatakan sebelum ini menetap di kuarters Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini sejak sekitar 13 tahun lalu.
Seramai 112 pemilik memiliki kunci rumah mereka yang disampaikan oleh YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bersempena Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Tanah Rata dan Majlis Pecah Tanah Projek PR1MA Ringlet di sini hari ini.-PAHANGMEDIA

