Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 16 JUN 2025: YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail selamat tiba di tanah air semalam selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah selama tiga minggu.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 10.30 malam tadi disambut oleh ahli keluarga, beberapa pegawai kanan kerajaan negeri, serta rakan-rakan pimpinan politik.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

Dalam satu kenyataan ringkas, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada yang mendoakan kesejahteraan beliau dan keluarga sepanjang menunaikan fardhu haji tahun ini.
“Alhamdulillah, saya dan keluarga telah selamat tiba ke tanah air, malam tadi.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan kami sepanjang kami menunaikan fardhu haji tahun ini.
Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kehidupan kita semua. Aamin” katanya.
YAB Menteri Besar dijadualkan kembali bertugas secara rasmi pada Rabu ini. -PAHANGMEDIA

