Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 16 JUN 2025 : Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) julung kali menganjurkan program GLOW-WANITA dan iFUTURE, sebagai satu inisiatif memperkasakan siswi di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Bertemakan Wanita Holistik, Inspirasi Masa Depan, program ini memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, keyakinan diri, kestabilan emosi, penampilan, serta kepimpinan dalam kerjaya dan komuniti.
Pengarah program, Nazirah Marzuki, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini, yang mencerminkan sinergi erat antara mahasiswa, universiti dan pihak kerajaan.
Katanya, program ini disifatkan sebagai simbol sinergi antara pihak kerajaan, universiti dan mahasiswa dalam mengangkat potensi wanita generasi baharu.

Program terbabit berjaya menarik penyertaan lebih 200 siswi dari pelbagai institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Widad University College, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil rasmi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Puan Farahida Dato’ Sri Fauzi, dan disaksikan oleh Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias – wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi tersebut dalam sejarah universiti itu.
Pelbagai pengisian diadakan termasuk Makeup Battle by Sobella, Inspiration Talk bersama tokoh wanita serta Power Talk oleh YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Program ini mendapat sokongan padu daripada tokoh-tokoh pentadbiran universiti iaitu Penolong Naib Canselor (Pengantarabangsaan), Profesor Datin Ts Dr Mimi Sakinah Abdul; Pengurus besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Puan Haryani Abdullah dan Pengurus Alumni dan Kerjaya, UMPSA Advance, Puan Haizatul Akma Md Hanafiah.
Sebagai kesinambungan, program iFUTURE akan diteruskan menerusi pengisian khas sempena Hari Terbuka UMPSA dan Hari TVET Negara pada 18 hingga 19 Jun 2025. -PAHANGMEDIA

