Oleh : Norhafizan Zulkifli & Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 11 JUN 2025 : Jalan berlubang di Jambatan Sungai Galing yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya mendapat perhatian segera Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, beliau telah turun ke lokasi kejadian hari ini bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak konsesi serta kontraktor yang terlibat bagi menilai keadaan semasa jambatan berkenaan.
“Saya sendiri telah meninjau keadaan jalan yang berlubang dan mendapati terdapat sedikit mendapan pada struktur jambatan tersebut yang boleh menyebabkan keruntuhan pada bila-bila masa.

“Buat masa ini, kita tidak akan menutup laluan tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, namun pihak JKR telah diminta mengeluarkan surat kepada pihak kontraktor untuk segera memasang plat besi (steel plate) bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Tambah beliau, jambatan Sungai Galing terdiri daripada dua struktur di mana satunya dibina pada tahun 1970 dan satu lagi pada 1996, menjadikan jambatan berkenaan berusia lebih 50 tahun.
“Saya telah minta JKR memanggil Unit Forensik Jambatan untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap tahap keselamatan struktur sedia ada dan berapa lama lagi jambatan ini boleh digunakan.
“Sekiranya laporan mendapati jambatan tidak lagi selamat, kita akan cadangkan pembinaan jambatan baharu yang lebih sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, struktur tiang jambatan yang terletak di dalam sungai telah menghalang aliran air dan menyebabkan masalah sampah tersangkut, justeru pembinaan jambatan baharu berkemungkinan boleh menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu, pihak JKR juga telah diarahkan untuk mengeluarkan surat kepada JPS selaku Pegawai Penguasa (SO) bagi menyediakan pelan tindakan pembaikan termasuk pemasangan steel plate dan pembinaan rubber wall setinggi dua meter, yang dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Ir. Razali turut meminta pihak JKR mengeluarkan surat kepadda kontraktor terlibat untuk menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Buat masa ini, pemasangan steel plate perlu disegerakan sebelum semua laluan dapat dibuka semula kepada pengguna,” jelas beliau. -PAHANGMEDIA

