Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 4 JUN 2025 : Negeri Pahang bersiap sedia menjadi tuan rumah Persidangan Ke-8 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) yang bakal berlangsung di Kuantan pada 9 hingga 12 Jun ini.
Mesyuarat penyelarasan terakhir bagi persiapan persidangan berprestij itu telah dipengerusikan oleh YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, petang tadi.
Menurut beliau, penganjuran persidangan ini bukan sahaja membuka peluang kepada negeri Pahang untuk diketengahkan kepada negara-negara ASEAN, malah menjadi platform penting dalam mempamerkan kemajuan negeri dalam pelbagai sektor.
“Kita berharap persidangan ini memberi peluang untuk memperkenalkan Pahang kepada delegasi luar dari pelbagai negara ASEAN. Ini termasuklah mempamerkan kemajuan negeri dalam bidang industri, pertanian dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, dari segi pelancongan, maklumat yang dikongsikan sepanjang persidangan berpotensi menarik minat delegasi untuk kembali ke Pahang sebagai pelancong pada masa akan datang.

“Dalam aspek pelaburan pula, ini juga satu ruang untuk kita meletakkan Pahang di pentas serantau. Saya kira, usaha ini penting agar kewujudan dan potensi Pahang lebih dikenali serta diiktiraf oleh negara-negara ASEAN,” katanya lagi.
Persidangan Ke-8 AIPACODD akan menghimpunkan seramai 70 orang delegasi dari seluruh Asia yang dijangka tiba pada 9 Jun dan acara akan berlangsung sepenuhnya pada 10 dan 11 Jun.
Antara acara utama sepanjang persidangan ialah Majlis Jamuan Diraja pada malam 10 Jun yang bakal dihadiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut hadir dalam mesyuarat penyelarasan itu ialah Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen.
Mengulas lanjut, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar menyatakan bahawa beliau amat berpuas hati dengan pembentangan taklimat oleh semua jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan, walaupun menyedari akan berlaku sedikit perubahan pada saat akhir.
“Saya yakin setiap pihak akan memberikan persembahan terbaik demi memastikan penganjuran persidangan ini berjalan lancar dan memberi impak positif kepada imej negeri Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

