Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 02 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan peningkatan status liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk di negeri ini sebanyak 100 peratus pada penghujung tahun ini berbanding 99.54 peratus buat masa kini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang juga melaksanakan langkah sementara melalui Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) di kawasan pedalaman yang tiada menara telekomunikasi.
“Semalam saya dapat taklimat daripada pihak MCMC bahawa liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang ini adalah pada kadar 99.54 peratus.
“Kita optimis menjelang perlaksanaan JENDELA 2.0 nanti, kita dapat selesaikan 100 peratus di kawasan berpenduduk, kita punya fokus.
“Dan untuk kawasan-kawasan pedalaman, atau kawasan yang belum ada perancangan untuk pembinaan menara telekomunikasi ini, Kerajaan Negeri ada penyelesaian interim atau sementara iaitu PRISMA (Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat menara telekomunikasi Kampung Gusai bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).
Turut hadir, Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, YBhg. Tuan Haji Bukhari Yahya; dan Pengarah MCMC Negeri Pahang, YBrs. Encik Shahrizal Husin.
Sementara itu, menurut YBhg. Tuan Haji Bukhari, bagi liputan jalur lebar mudah alih 5G di kawasan berpenduduk di negeri ini, telah pun mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 80 peratus.
“Kalau kita lihat 5G ini memang agak bersasar dengan keseluruhan sasaran yang ditetapkan di bawah pelaksanaan teknologi 5G ini kita tetapkan sasaran sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk dan alhamdulillah setakat ini telah dicapai.
“Sekarang ini kita dalam pelaksanaan untuk dua rangkaian di dalam perancangan dan kita ambil maklum bahawa YB. Tuan Fadzi memohon untuk kita berbincang dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk melihat kawasan-kawasan yang strategik untuk disediakan liputan 5G di Negeri Pahang.
“Jadi perancangan kita untuk pelaksanaan 5G untuk rangkaian kedua ini kita akan ambik kira kawasan-kawasan yang penting di Negeri Pahang untuk kita masukkan ke dalam perancangan 5G di Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

