Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 MEI 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan Negara.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan, YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Majlis Pelancaran Eastern International TVET Pahang yang berlangsung di Pusat Komersial Bandar Gambang, di sini hari ini.
“Saya juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan dengan ini mengumumkan untuk melantik YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan Negara.

“Tok Wan, buatlah elok-elok. Insya-Allah saya sebagai ‘abang tua’ akan membantu apa sahaja yang boleh,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.
Tambah beliau, sebelum ini Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melantik YAB Menteri Besar Pahang sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan.
“Berikan tepukan kepada Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy atas pelantikan ini. Mudah-mudahan beliau dapat mempromosikan Pahang sebagai destinasi TVET dan juga destinasi pembangunan usahawan negeri, insya-Allah,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas komitmen tinggi dalam aspek tadbir urus kewangan sehingga menjadi antara negeri yang mencatat kutipan hasil negeri yang cemerlang.

“Pengurusan hasil ini insya-Allah akan terus menyumbang kepada pembangunan Negeri Pahang sebagai negeri maju, bukan sahaja menarik pelaburan tetapi juga berkembang dalam bidang industri dan pembangunan modal insan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus membantu pembangunan institusi seperti Eastern International TVET termasuk dari segi kemudahan pinjaman pendidikan.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal. -PAHANGMEDIA

