Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 MEI 2025 : Dua lelaki berusia 63 dan 37 ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti melombong emas secara haram di Kampung Baru Bukit Koman, Raub semalam.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, pihaknya telah menerima aduan berkenaan aktiviti berkenaan dan ketika serbuan kedua-dua lelaki berkenaan gagal menunjukkan sebarang kebenaran bagi menjalankan aktiviti melombong di kawasan berkenaan.

“Pada 23 Mei 2025, jam lebih kurang 9.30 malam, anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Zon Pahang Barat bergerak ke tempat aduan yang disyaki menjalankan aktiviti cari gali emas di Lot 17477 Kampung Baru Bukit Koman, Mukim Gali, daerah Raub.
“Semasa anggota tiba di kawasan ini, terdapat dua individu sedang bekerja berada di kawasan yang disyaki telah melakukan kerja-kerja melombong.

“Pegawai serbuan telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan bertanya berkaitan sebarang kebenaran atau kelulusan yang diberikan kepada pengusaha lombong namun gagal dinyatakan,” katanya.
Menurut beliau, pihak penguatkuasa turut menyita sebuah pam air, dua buah palong bergerak, dulang, cangkul, penyodok, dan kuali yang digunakan kedua-dua lelaki warga tempatan tersebut ketika ditahan.

Tambah beliau, pihaknya akan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001, penalti kerana melombong tanpa lesen atau pajakan bagi kes ini. -PAHANGMEDIA

