Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 23 MEI 2025 : Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Ar-Ri’ayah dan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) yang berlangsung di Masjid UnIPSAS, di sini, merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh pendidikan Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memperkukuh jaringan pendidikan Islam, malah membawa pendekatan baharu dalam membangunkan insan rabbani yang seimbang dari sudut ilmu, amal dan kemahiran.

Katanya, kerjasama seperti itu juga memberikan gambaran yang jelas bahawa pendidikan Islam masa kini perlu bergerak seiring dengan keperluan dan perkembangan semasa.
“Pendekatan yang mengintegrasikan pengajian al-Quran dengan bidang Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan satu keperluan yang amat signifikan dalam usaha membangunkan generasi muda yang holistik dan berdaya saing.
“Pemeteraian Mou antara UnIPSAS, Yayasan Ar-Ri’ayah dan IKDAR merupakan contoh sinergi pendidikan yang sangat bertepatan dengan keperluan semasa.

“Kerjasama ini dijangka memberi impak besar dalam membangunkan satu model pendidikan Islam yang lebih dinamik, praktikal dan selari dengan keperluan industri serta aspirasi ummah,” katanya ketika berucap bersempena majlis berkenaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah, Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah, Yang Berusaha Habib Ali Zainal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid, serta Rektor IKDAR, Dr. Muhammad Faizal Tahiruddin.
Tambah YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim, masyarakat kini memerlukan pelapis yang bukan sahaja memahami al-Quran, malah memiliki kemahiran hidup dan kebolehan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

Beliau turut menyentuh tentang perancangan penubuhan Universiti al-Quran di bawah naungan UnIPSAS yang menjadi satu agenda penting bagi memperkasa pengajian al-Quran di negara ini secara lebih menyeluruh dan mendalam.
“Penubuhan Universiti al-Quran merupakan suatu keperluan yang amat kritikal pada masa kini. Negara kita masih belum memiliki sebuah institusi pengajian tinggi yang benar-benar memberi tumpuan secara menyeluruh dan mendalam terhadap pengajian al-Quran merangkumi aspek hafazan, tafsir, qiraat, penyelidikan Quranik serta integrasi dengan bidang-bidang moden seperti sains, teknologi, pengurusan dan profesionalisme.

“Saya yakin dan percaya bahawa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) memiliki kredibiliti, kepakaran dan kapasiti yang diperlukan untuk menerajui usaha penubuhan Universiti al-Quran ini. Usaha ini wajar mendapat sokongan padu daripada semua pihak,” ujarnya.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dalam pada itu menyeru lebih banyak institusi tampil menjalin kerjasama strategik seperti ini, bagi mewujudkan ekosistem pendidikan Islam yang progresif, inklusif dan menyeluruh, demi manfaat ummah dan masa depan negara. -PAHANGMEDIA

