Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 MEI 2025 : Syarikat Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd (VAC) menjadi agensi pertama menawarkan latihan pekerjaan kepada anak-anak dari rumah kebajikan di negeri ini.
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad, sebelum ini pihak JKM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi lain tetapi kesemuanya melibatkan institusi pendidikan.
“Kita mengharapkan kita dapat meneruskan kerjasama ini dengan pihak syarikat VAC ini untuk program lepasan institusi seperti peluang latihan atau peluang pekerjaan sebagai program transisi sebelum mereka kembali kepada keluarga dan masyarakat melalui Program Pengintegrasian.

“Kita di Pahang ada kerjasama dengan GIATMARA yang lebih kepada program latihan, dan kini dalam proses kerjasama dengan institusi seperti UCYP, Kolej Komuniti, dan dalam perancangan bersama Pahang Skills bagi peluang latihan dan pendidikan.
“Dan setakat ini, syarikat ini yang pertama dan merupakan perintis bagi kerjasama dalam bidang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Aktiviti Khidmat Masyarakat di antara Vacuumschmelze (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah.
Turut hadir, Pengurus Sumber Manusia VAC (M) Sdn. Bhd, Encik Junaidi Abdullah yang merupakan wakil rasmi kepada Pengurus Besarnya, Encik Mohd. Arif Zakaria; dan Pengetua Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Puan Suriani Manaf.

Menurut beliau, pihak JKM juga amat menggalakkan kerjasama syarikat korporat dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama pihak JKM dan agensi kerajaan di negeri ini.
“Kita di JKM juga amat menggalakkan CSR (tanggungjawab sosial korporat) daripada syarikat korporat ini. Saya difahamkan ia adalah satu kewajiban kepada pihak korporat dalam memberi CSR dan juga menjalinkan kerjasama strategik antara korporat, Kerajaan, dan NGO.
“Kerjasama strategik ini dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kumpulan sasar ini supaya mereka menerima perkhidmatan yang berkesan dan bermakna. Dan mereka boleh meneruskan kehidupan mereka secara lebih sejahtera di dalam institusi mahupun setelah keluar daripada institusi.
“Kita juga mengalu-alukan syarikat korporat lain bagi menyumbang kepada peluang pekerjaan kepada anak-anak ini,” katanya.
Perancangan bagi jalinan kerjasama ini telahpun dipersetujui dan akan dimeterai dalam masa terdekat diantara pihak JKM Negeri Pahang dan Syarikat VAC Sdn. Bhd. -PAHANGMEDIA

