Oleh: Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 MEI 2025 : Inisiatif Karya Anak Pahang bukan sahaja menjadi wadah bagi menghargai kreativiti rakyat negeri ini, malah berperanan penting dalam menyatukan masyarakat melalui penyebaran mesej positif dan pembangunan identiti negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, karya-karya yang dihasilkan rakyat Pahang sama ada dalam bentuk video, gambar, penulisan atau nukilan mampu menjadi saluran maklum balas kepada Kerajaan Negeri.

“Tujuan Karya Anak Pahang ini tujuannya adalah tidak hanya untuk menghargai daya kreativiti rakyat Pahang dalam menghasilkan video, gambar, penulisan, nukilan khusus dalam bidang seni kreatif ini tetapi juga untuk menyebarkan mesej-mesej yang menyatukan rakyat Pahang itu sendiri.
“Dan selain daripada itu, menyebarkan berita-berita yang baik yang berlaku di negeri Pahang itu sendiri sekali gus menangkis budaya yang tidak baik dalam media sosial yang kadang-kadang memecahbelahkan kita. Jadi itulah hasrat utama Karya Anak Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Karya Anak Pahang bersempena Festival Belia Pahang yang berlangsung di Wisma Belia di sini, hari ini. Majlis turut dihadiri Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer.
YB. Tuan Fadzli juga berkata, difahamkan inisiatif terbabit telah mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 1,000 karya diterima sejak tahun lalu dan lebih 100 pemenang telah diumumkan antara Januari hingga April tahun ini.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini turut berperanan mempromosikan keunikan negeri ini dari pelbagai sudut seperti sejarah, budaya, alam semula jadi dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Pahang.

“Dan melalui Karya Anak Pahang ini, kita boleh mempromosikan keunikan negeri Pahang dari segi sejarah dan ketamadunannya, dari segi budayanya, dari segi keindahan alam semula jadi dan keunikan masyarakat berbilang kaum di negeri Pahang itu sendiri,” katanya.
YB. Tuan Fadzli turut menyarankan agar ganjaran kepada para pemenang dikaji semula sebagai langkah penambahbaikan selaras dengan sambutan yang semakin menggalakkan.
“Antara penambahbaikan yang boleh kita kaji sebab sambutan dah cukup baik, penyertaan dah makin ramai, mungkin dari segi hadiah pertandingan kita boleh kaji semula. Mungkin tahun hadapan kalau dapat persetujuan YAB Menteri Besar, mungkin tambah lagi.
“Dan pada saya, elok Kerajaan Negeri Pahang berbelanja untuk gerakan positif seperti ini. Kita raikan karya rakyat yang menyebar mesej-mesej positif di media sosial dan saya harap suatu hari nanti mereka ini jugalah yang akan mempertahankan negeri ini kalau orang perlekeh misalnya sebab budaya-budaya yang tersebar khususnya budaya negatif, maklumat-maklumat palsu di negeri Pahang, mereka inilah nanti yang kita harap akan pertahankan,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

