Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 17 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya merekodkan kutipan hasil lebih RM400 juta setakat bulan ini di mana terdapat lebihan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peningkatan jumlah kutipan ini hasil kecekapan pengurusan ketiriasan dan kebocoran hasil di negeri ini.
“Hasil kita meningkat tiga tahun berturut-turut, kita mendapat kutipan hasil melebihi RM1 bilion yang tidak membebankan rakyat.
“Dan sekarang ini bulan lima (Mei) kita telah mendapat RM400 juta lebih. Kalau compare apple to apple to last year, tahun ini dah surplus dah kutipan kita.
“Dan ini semua kita uruskan ketirisan dan kebocoran anak-anak syarikat semua mencipta keuntungan dan saya sangat berpuas hati dengan yang telah dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di FGV Seikhlas Hati : Majlis Sumbangan Kumpulan FGV di Masjid Sungai Koyan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Pengerusi Kumpulan FGV, YB. Dato’ Sri Tan Sri Rastam Mohd Isa.
Menurut beliau, kejayaan ini merupakan hasil kerja berpasukan secara satu keluarga dengan menerapkan semangat Pahang First di dalam setiap tindakan dan keputusan.
“Ini bukan usaha saya seorang, usaha sebagai satu pasukan, satu keluarga. Tagline saya Pahang First dan bekerja sebagai satu pasukan dan bekerja dalam suasana kekeluargaan.
“Jadi saya ingat sebab itulah kita boleh mencapai kejayaan demi kejayaan dan insyaAllah banyak lagi yang akan kita terokai untuk masa-masa yang akan datang,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bersyukur diatas kerjasama yang diberikan semua pihak dalam tempoh tujuh tahun pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Pahang sehingga negeri ini mencapai banyak kejayaan.
“Saya berasa begitu bersyukur kepada Allah SWT kerana saya mendapat sokongan daripada rakan-rakan sejawat, penjawat awam, agensi kerajaan, dalam usaha untuk mentadbir dan mengurus Negeri Pahang dan banyak pencapaian telah kita buat,” katanya.
Mengulas mengenai sumbangan dari pihak FGV, beliau melahirkan penghargaan di atas kesungguhan dan komitmen menganjurkan program yang memberi manfaat besar kepada masyarakat di negeri ini.
“Manakala pada tahun 2024 pula menyaksikan peningkatan ketara RM1.2 juta disalurkan kepada 1,900 penerima asnaf. Ini jelas membuktikan iltizam FGV dalam memperluas impak sosial mereka.
“Pada tahun ini, seramai 1,500 penerima telah dikenalpasti, dan FGV memperuntukkan sebanyak RM865,000 bagi menjayakan bantuan. Ini bukan angka kecil. Ini adalah simbol kasih sayang korporat kepada rakyat.
“Dalam pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Pahang amat mengalu-alukan penglibatan aktif sektor korporat dalam memperkasa agenda kebajikan rakyat dan memacu pembangunan negeri secara menyeluruh. Firma seperti FGV bukan sekadar menjalankan operasi ekonomi, tetapi turut mengangkat tanggungjawab sosial. Inilah contoh teladan korporat prihatin,” katanya. -PAHANGMEDIA

