Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 MEI 2025 : Tiga lelaki temasuk seorang warga asing ditahan setelah di kesan menceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal di Kampung Sang Lee, Raub semalam.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman, kesemua mereka ditahan selepas pihak polis terserempak kesemua mereka sedang menunggang motorsikal masuk ke kawasan hutan berkenaan.
“Pada 13/05/2025 (Selasa) pada jam lebih kurang 8.00 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub telah menerima maklumat menyatakan terdapat aktiviti pencerobohan di kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Sang Lee.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Raub dan Balai Polis Tranum terus ke lokasi kejadian di Hutan Simpan Rotan Tunggal.

“Hasil pemerhatian sehingga jam 12.30 tengahari telah berjaya menahan dua lelaki cina dan satu lelaki Indonesia yang sedang menunggang motorsikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati terdapat kegiatan menceroboh tanah telah berlaku di kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal.
“Seterusnya tangkapan telah dibuat ke atas ketiga-tiga lelaki tersebut dan menghubungi Pejabat Hutan Daerah Raub untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Setibanya pasukan daripada Pejabat Hutan Daerah Raub telah mengesahkan kesemua tangkapan tersebut adalah di kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal di mana terdapat kegiatan pencerobohan tanah telah berlaku.

“Kesemua tangkapan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Hutan Daerah Raub di bawah Seksyen 88(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.
Supt. Mohd Shahril berkata pihaknya sentiasa memandang serius perkara berkenaan pencerobohan hutan simpan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkan segera kepada pihak polis.
“Ketua Polis Daerah Raub sentiasa memandang serius akan kegiatan pencerobohan hutan simpan ini dan akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku di masa akan datang.
“Sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222,” katanya. -PAHANGMEDIA

