Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 MEI 2025 : Lebih 70,000 pengunjung direkodkan hadir memeriahkan acara permotoran RXZ Fighter 2.0 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Teluk Cempedak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, jumlah pengunjung ini melebihi jumlah pada acara sama tahun lepas iaitu sebanyak 50,000 pengunjung.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kelab Permotoran RXZ Pahang atas kejayaan penganjuran RXZ Fighter 2.0 di Teluk Cempedak pada semalam dan hari ini. Ini adalah kali kedua penganjurannya di mana tahun lalu kita buat di Serambi Teruntum.
“Kerajaan Negeri Pahang memberi sokongan padu terhadap penganjuran program permotoran yang mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada peminat RXZ dan juga motor-motor lain dari seluruh negara.

“Pada kali kedua penganjurannya, penyertaannya lebih ramai. Jika tahun lalu cecah lebih 50,000, kali ini saya difahamkan hampir 70,000, di mana jumlah gerai, booth yang mengambil bahagian, dan syarikat yang menaja juga bertambah kali ini berbanding tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi merasmikan penutupan RXZ Fighter 2.0 di TC Uptown, Teluk Cempedak.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin; dan ADUN Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain.
Beliau berkata bagi penganjuran RXZ Fighter 3.0 pada tahun hadapan, terdapat permintaan bagi diadakan di daerah lain di negeri ini namun ia bergantung kepada kesesuaian lokasi bagi menampung jumlah motor dan juga penginapan peserta.

“Saya terima banyak maklumbalas minta diadakan di daerah lain, cumanya kita dah bincang sebelum ini, Kuantan ada kelebihan daripada segi lokasi yang luas, ada penginapan yang boleh support event kita.
“Walaupun penuh semua hotel dan homestay tapi masih boleh cater pengunjung seramai ini. Kalau di daerah lain mungkin kita kena tengoklah lokasi yang seperti ini dan sedikit masalah dari segi penginapan,” katanya.
Mengulas mengenai kemalangan yang berlaku setiap kali acara permotoran ini diadakan, beliau berkata semua pihak perlu mendidik para penunggang motorsikal supaya lebih berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan lalulintas.
“Kita kena educate penunggang motorsikal ini sebab itu setiap kali saya atau penganjur buat video kita akan tekankan soal keselamatan ini kerana yang paling penting keselamatan diri, keluarga, dan pengguna jalan raya yang lain. Itu top priority kita.
“Dalam saat kita nak meraikan minat anak muda dan peminat permotoran kita tekankan yang pertama sekali keselamatan diri, keluarga, dan pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, menurut Puan Siti Zaharah Rahaman, 35, yang membawa pulang kenderaan pacuan empat roda Triton Athlete pada RXZ Fighter 2.0 ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas rezeki yang tidak disangka.
“Saya datang lepas balik kerja, naik motor berdua dengan suami. Rasa tak sangka sebab tengok semua lelaki (yang dapat cabutan bertuah). Saya sebelum diumumkan dapat kereta ni tadi ada terdetik dalam hati kalau dapat kereta ni boleh guna untuk buat side income,” katanya yang berasal dari Bera. -PAHANGMEDIA

