Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan kehadiran lebih 50,000 pengunjung yang dijangka bakal memeriahkan RXZ Fighter yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di TC Uptown, Teluk Cempedak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, jumlah kehadiran pengunjung dijangka bertambah kali ini berbanding tahun lepas memandangkan kawasan yang lebih luas digunakan bagi program ini.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan kehadiran seluruh peminat RXZ dari seluruh negara dan termasuk negara luar yang turut bersama kita selama dua hari event permotoran kali kedua, RXZ Fighter 2.0 ini.
“Kali ini lokasi dan tempatnya lebih luas berbanding dengan tahun lalu di mana penyertaannya dijangka lebih ramai berbanding tahun lalu. Tahun lalu 50,000 orang dan tahun ini kita harap lebih ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke gerai-gerai jualan pameran, cenderahati dan pelbagai barangan permotoran.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin.
Beliau berkata berdasarkan persiapan tempat dan majlis serta sambutan setakat hari ini, jumlah kehadiran lebih 50,000 orang dapat dicapai pada program berakhir esok.

Beliau ketika ditemui turut mengalu-alukan kehadiran semua peminat sukan permotoran untuk bersama-sama hadir dan memeriahkan pelbagai aktiviti yang dijalankan.
“Saya mengalu-alukan kehadiran peminat RXZ dari seluruh negara dan juga dari negara luar seperti Indonesia, Singapura, dan dari Thailand.
“Tapi apa yang paling penting hati-hati menunggang RXZ masing-masing, patuhi peraturan lalulintas, ingat orang yang tersayang, jaga keselamatan diri dan juga pengguna jalanraya yang lain,” katanya.
Pelbagai aktiviti dijalankan pada hari pertama RXZ Fighter hari ini antaranya ceramah agama, Pahang Petronas Cub Prix & FIM SIC Ohvale MiniGP Rider Show, serta konsert OAG, manakala pada hari kedua, terdapat pertandingan airbrush fighter & dyno fighter, serta cabutan bertuah. -PAHANGMEDIA

