Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 04 MEI 2025 : Moh Karnival Makmur merupakan satu inisiatif proaktif mendekatkan Kerajaan Negeri dengan rakyat di negeri ini selain memperkukuh budaya penyampaian perkhidmatan awam secara langsung dan mesra rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, karnival ini juga merupakan manifestasi tekad Kerajaan Negeri Pahang dalam hubungan antara rakyat dan Kerajaan.

“Moh Karnival Makmur bukan sekadar sebuah karnival biasa. Ia adalah manifestasi tekad Kerajaan Negeri Pahang untuk menyampaikan maklumat, memahami denyut nadi rakyat, serta memperkukuh kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.
“Karnival kali ini menampilkan pendekatan lebih inklusif, dibawa terus ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), agar manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Menariknya, Moh Karnival Makmur 2025 juga digabungkan dengan Karnival Tanah Pahang, yang memberi akses terus kepada maklumat serta perkhidmatan berkaitan urusan tanah, sekaligus memudahkan rakyat menyelesaikan urusan secara terus dengan jabatan dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Moh Karnival Makmur Peringkat Daerah Maran 2025 di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 3.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Menurut beliau karnival yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini merupakan simbol komitmen berterusan oleh Kerajaan Negeri Pahang terhadap rakyat di negeri ini.

“Program Moh Karnival Makmur merupakan simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan rakyat sentiasa diberi perhatian dan diutamakan dalam segala agenda pembangunan.
“Saya percaya, dengan adanya program sebegini, hubungan antara rakyat dan kerajaan akan terus diperkukuh, maklumat disampaikan secara langsung, dan kesejahteraan rakyat terus dijaga,” katanya.
Tambah beliau, karnival tanah pada kali ini juga menerima kutipan hasil tanah yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM7.047 juta melibatkan lapan agensi.
Beliau berkata seramai 5,000 pengujung telah direkodkan hadir ke karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas dan beliau yakin ia akan menarik lebih ramai pengujung pada pengajuran selepas ini memandangkan karnival ini telah dikenali ramai. -PAHANGMEDIA

