Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Pahang telah memperuntukkan sejumlah RM2.52 juta bagi melaksanakan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata, program itu merupakan satu langkah proaktif untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya menjelang musim perayaan utama.
Katanya, inisiatif terbabit memberi peluang kepada rakyat Negeri Pahang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran, hasil subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
“Pada 17 April lalu saya telah berjumpa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, yang menyokong dan memuji inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam menjalankan Program Jualan Makmur ini,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, hanya negeri Pahang, Johor dan juga Selangor sahaja yang melaksanakan program seumpama itu bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam menyokong program ini.
“Inisiatif ini selari dengan pengumuman YAB Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2025, di mana Jualan Makmur Kluster Perayaan dikenalpasti sebagai antara strategi penting dalam memperkukuhkan jaringan keselamatan kos sara hidup rakyat.
“Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Pahang, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini bagi sambutan perayaan utama yang akan datang seperti Deepavali dan Krismas,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

