Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Pahang terus komited memperluaskan akses pemilikan tanah khususnya buat generasi baharu FELDA menerusi pelaksanaan projek Skim Tanah Rakyat (STR) di beberapa kawasan terpilih.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tapak yang sesuai bagi cadangan tambahan projek STR sebanyak 24 unit di Felda Kechau 1 dan 72 unit di Felda Chegar Perah, Lipis.
“Ketika ini, pihak FELDA (Wilayah Mempaga) sedang dalam proses menyediakan permohonan rasmi kepada Ibu Pejabat FELDA untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tapak.
“Tindakan ini merupakan langkah awal ke arah merealisasikan cadangan tersebut dan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menyediakan lebih banyak peluang penempatan kepada rakyat yang layak,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, bagi projek STR FELDA di Bandar 35, Tebing Tinggi, Tembangau dan Tembangau 1, Bera, pihak FELDA telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
“Antara tindakan yang telah dilaksanakan termasuk pelantikan jurukur tanah bertauliah bagi menjalankan kerja-kerja pengukuran serta penyediaan pelan racikan (Pre-comp Plan). Kesemua kerja pengukuran lapangan telah disempurnakan dan kini proses penyediaan pelan tersebut sedang berjalan,” katanya.
YB. Dato’ Amizar berkata, pelan racikan berkenaan akan menentukan jumlah sebenar lot yang boleh diwujudkan berdasarkan keluasan minimum 3,000 kaki persegi (40’ x 75’) seperti yang disyorkan oleh Kerajaan Negeri.
Bagi projek STRFP di Chini Timur 1 dan Chini Timur 3, Pekan, pula, katanya, ia kini berada dalam Fasa Kedua pelaksanaan dan sedang melalui proses lantikan jurukur bertauliah di peringkat Ibu Pejabat FELDA.
“Perbincangan dengan PTG Pahang masih diteruskan bagi Fasa 1 dalam merumuskan cadangan penambahbaikan teknikal dan tatacara pelaksanaan yang lebih efisien. Manakala bagi Fasa 2, FELDA akan mengemukakan kertas cadangan bagi pengukuran dan perancangan secepat mungkin,” katanya.
YB. Dato’ Amizar berkata, Kerajaan Negeri bersama FELDA dan agensi berkaitan akan memastikan setiap projek STR yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur, mengikut jadual dan memberi manfaat besar kepada generasi muda FELDA yang memerlukan lot penempatan. -PAHANGMEDIA

