Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kini berada pada landasan yang tepat berdasarkan peningkatan yang ketara dalam penyertaan usahawan mikro dan agropreneur belia di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah yang proaktif dalam memperluaskan akses kepada geran dan insentif keusahawanan.
“Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Pahang juga mengambil langkah proaktif dalam memperluas akses kepada geran dan insentif keusahawanan. Ini termasuk pelaksanaan program outreach, sesi padanan perniagaan, klinik permohonan dan kolaborasi rapat bersama agensi-agensi Persekutuan dan GLC.
“Berdasarkan statistik semasa, peningkatan ketara dalam penyertaan usahawan mikro dan agropreneur belia di Pahang menunjukkan bahawa dasar dan inisiatif kerajaan kini berada pada landasan yang tepat.
“Ramai usahawan baharu telah berjaya menembusi pasaran domestik dan antarabangsa hasil daripada akses kepada pembiayaan dan geran permulaan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata pelbagai skim geran padanan, geran automasi dan program bimbingan juga telah diperkenalkan kepada para usahawan agar mereka kekal berdaya saing dalam ekonomi digital masa kini.
“Kerajaan turut menyedari keperluan untuk menyokong transformasi digital dan pemodenan operasi perniagaan, khususnya dalam kalangan usahawan PKS dan usahawan tani.
“Maka, pelbagai skim geran padanan, geran automasi dan program bimbingan telah diperkenalkan agar usahawan kekal berdaya saing dalam ekonomi digital masa kini,” katanya.
Tambah beliau, terdapat pelbagai bentuk geran ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyokong pembangunan dan pertumbuhan usahawan tempatan dalam pelbagai sektor.
“Geran yang pertama adalah daripada RISDA, seperti geran Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Start-Up; Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Pro-Tani; dan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET)-Belia.
“Geran yang kedua ialah daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seperti Geran Pemadanan High Impact Product (HIP); Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP); Geran Agropreneur Muda Start-Up; Geran Agropreneur Muda Scale-Up; dan Geran Agropelancongan
“Seterusnya, usahawan juga boleh memohon geran melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang merangkumi Geran Agropreneur Muda (GAM); Geran CUP; dan Geran HIP,” katanya.
Menurut beliau, terdapat lima lagi geran ditawarkan kepada para usahawan melalui syarikat-syarikat di bawah Kerajaan.
“Yang keempat ialah daripada SME Corporation Malaysia, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE); Bumiputera MSMEs Financing Initiatives di mana program ini menyokong pembangunan keusahawanan belia dan perusahaan mikro serta kecil.
“FELDA juga turut menawarkan geran iaitu Tabung Usahawan Belia FELDA. Yang keenam, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menawarkan geran seperti Pembiayaan PROSPER; dan Program JUMPER. Selain itu, Jabatan Perikanan Malaysia turut menyediakan geran kepada usahawan melalui Geran Pemadanan Program Pembangunan Integrasi Akuakultur; dan Program myAP.
“Yang kelapan, Jabatan Pertanian Negeri Pahang menyediakan Insentif Pembangunan Tanaman. Dan yang terakhir, SIRIM Berhad yang merupakan agensi pelaksana, dan tidak memberi geran secara langsung turut menyediakan SMART Tech Up Program (2025) – Menawarkan geran 25 peratus kepada syarikat bersaiz sederhana untuk projek berkaitan IoT 2.0 ke atas, dengan maksimum pinjaman RM2.5 juta. Baki 75 peratus boleh dibiayai melalui pembiayaan bank yang berkolaborasi dengan SIRIM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

