Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan membangunkan projek perumahan Pangsapuri Pahangku di setiap lokasi stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, projek perumahan ini juga dirancang untuk dijual secara sewa beli kepada golongan muda.
“Yang baru sekali kita diarahkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang supaya membina pangsapuri di stesen ECRL yang akan dirasmikan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. Pecah tanah nanti pada bulan 5 2025 ini. Pangsapuri Pahangku.
“Dan visi Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya memastikan setiap stesen-stesen ECRL ini akan dibina rumah Pangsapuri Pahangku ni kerana besok bila siap ECRL ini, jarak atau masa perjalanan daripada Pahang ke Kuala Lumpur ni, daripada Cherating sampai ke Kuala Lumpur tahun 2027 nanti, naik kereta api hanya 1 jam 45 minit.
“Tapi kita minta rumah Pangsapuri Pahangku ini diberikan kepada generasi anak muda di bawah umur 40 tahun untuk dimiliki. Orang-orang muda yang nak mulakan kehidupan baru dan boleh dibeli secara sewa beli,” katanya.
Beliau berkata projek Pangsapuri Pahangku ini merupakan salah satu skim projek perumahan baharu di bawah Kerajaan Negeri Pahang.
“Perumahan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri terutamanya Rumah Prima Pahang, kedua, Rumah Makmur, ketiganya, Rumah Penjawat Awam Pahang yang akan dilaksanakan, seterusnya Rumah Mesra Pahang, Rumah Pahangku, Rumah Pahang di bawah Generasi PGPF, dan yang terbaharu Pangsapuri Pahangku.
“Hampir 885 unit Rumah Rakyat Pahang diberikan percuma yang bernilai RM80,000 diberikan kepada rakyat Pahang yang betul-betul memerlukan.
“Rumah Prima di Pahang ada 8,000 unit yang dah siap kita bina, dan 1,200 akan siap tahun ini sahaja akan diberi CCC dan boleh diduduki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB Tuan Hassan Omar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

