Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited untuk terus menyokong dan memberi insentif galakan kepada usaha penternakan ikan sangkar khususnya di Sungai Pahang termasuk Sungai Semantan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan pada tahun ini termasuklah Bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKS), Projek Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) serta Bantuan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).
“Pada tahun 2024, sejumlah RM489,700 telah disalurkan kepada 35 penternak melalui bantuan SPeKS, manakala RM6,893,600 diberikan kepada 48 penternak melalui 11 kluster di bawah PPIA yang merangkumi pembinaan sangkar, rumah operasi dan makanan ikan. Selain itu, seramai 67 pengusaha akuakultur yang terjejas akibat banjir dan kemarau (El Nino) turut menerima bantuan PPSPA berjumlah RM589,010,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5,601,490 bagi meneruskan bantuan kepada penternak akuakultur merangkumi RM383,590 bagi program SPeKS kepada 61 penerima, RM4,667,800 di bawah PPIA kepada 41 penerima melibatkan 10 kluster serta RM540,100 di bawah Tabung Bencana Pertanian kepada 45 penternak yang terjejas akibat banjir antara November 2024 hingga Januari 2025.
“Pada masa sekarang pengeluaran ikan laut dan air tawar adalah mencukupi dan kerajaan komited akan terus membangunkan sektor perikanan secara bertanggungjawab di negeri Pahang supaya ia kekal mampan,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan ADUN Lantikan, YB Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly berhubung kejadian beberapa sangkar ikan di Sungai Semantan yang dilanggar kayu hanyut baru-baru ini, beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat kebajikan penternak termasuk melalui bantuan daripada Jabatan Perikanan.
“Dalam kes seumpama ini, ianya luar biasa sedikit di mana kayu hanyut di dalam sungai menyebabkan kerosakan dan perkara ini berlaku baru-baru ini. Saya akan membuat rujukan kepada jabatan berkaitan dan terima kasih ADUN lantikan kerana membangkitkan perkara ini,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai jasa golongan penternak, petani dan nelayan yang dianggap sebagai wira tidak didendang kerana menjadi penyumbang kepada keterjaminan makanan serta tarikan pelancongan ke negeri ini. -PAHANGMEDIA

