Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berhubung isu pencerobohan tanah haram dan penguatkuasaan yang tegas ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini disifatkan amat tepat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagaimana titah Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah, semua pihak tidak boleh menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kita tidak boleh menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Titah Tuanku itu memang tepat dan benar,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, setakat April ini, Kerajaan Negeri berjaya mengutip hasil berjumlah RM300 juta.
“Perlu di’highlight’kan, kutipan hasil ini tanpa membebankan rakyat. Semua kita uruskan ketirisan, kebocoran, kecekapan… mana-mana tunggakan kita kejar supaya mereka bayar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan Kerajaan Negeri dalam menangani pencerobohan tanah haram, termasuk kegiatan perlombongan haram kini jauh lebih tegas berbanding sebelum ini.
“Kita juga telah memastikan bahawa kalau sekiranya ada pencerobohan tanah haram, perlombongan dan sebagainya itu dulu dikenakan kompaun. Sekarang tidak… kita terus bawa ke mahkamah.
“Contohnya baru-baru ini ada satu kes di Lipis, mahkamah telah mengenakan denda yang tinggi, RM100,000 untuk setiap orang berbanding sebelum ini kompaun RM20,000 ke RM30,000.
“Dan cara membawa ke mahkamah ini bukan untuk mengaibkan, tidak tapi untuk mendidik supaya orang dapat melihat bahawa kerajaan negeri sangat serius berhubung penerokaan dan pencerobohan tanah haram dan lain-lain aktiviti haram seperti melombong dan sebagainya,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

