Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini merupakan ikhtiar menyeluruh dalam membangunkan potensi diri rakyat.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, ia juga merupakan permulaan kepada era baharu kepada isi rumah terlibat.
“Beta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa sukacita apabila kerajaan beta berjaya melakar detik bersejarah dengan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini pada 29 Mei 2024 yang telah membawa sinar baharu kepada 1,946 ketua isi rumah (KIR) yang sebelum ini bergelut dalam kehidupan serba kekurangan.
“Usaha ini bukan sekadar menghulur bantuan sementara yang bersifat mengubati simptom tetapi merupakan ikhtiar menyeluruh untuk membangunkan potensi diri rakyat, menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik, dan merintis jalan menuju taraf hidup yang lebih berjaya.
“Sesungguhnya menoktahkan kemiskinan tegar bukanlah penghujung tetapi permulaan kepada satu era baharu yang mengangkat keadilan sosial dan kemakmuran bersama,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah dalam titah menzahirkan harapan agar usaha kerajaan tidak terhenti bagi memastikan tiada seorang pun rakyat di negeri ini yang tertinggal.
“Justeru itu, beta berharap agar usaha kerajaan tidak terhenti di sini. Teruskanlah langkah-langkah proaktif, merintis inisiatif yang inovatif, dan memastikan tiada seorang pun rakyat Negeri Pahang yang tertinggal daripada arus pembangunan dan kesejahteraan.
“Negeri yang makmur, rakyat yang sejahtera, itulah iltizam kita dan itulah janji yang wajib kita tunaikan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. – PAHANGMEDIA

