Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan agar pembinaan Mahkamah Syariah Bentong dapat segera dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Paduka Baginda bertitah, pembinaan mahkamah syariah berprasarana moden amat penting bagi memastikan keadilan syariah dapat ditegakkan dengan lebih berkesan dan selesa, selaras dengan imej Islam sebagai agama yang berwibawa dan progresif.
“Beta menaruh harapan agar pembinaannya dapat dimasukkan dalam peruntukan RMK-13 dan disegerakan pelaksanaannya. Mahkamah yang berwibawa dan berprasarana moden adalah lambang keadilan yang teguh dan Islam yang gemilang,” titah Paduka Baginda ketika Istiadat Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Paduka Baginda dalam masa sama turut menyambut baik langkah Kerajaan Pahang yang telah meluluskan peruntukan RM20 juta bagi pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah di Temerloh melalui RMK-12.
Selain memperkasakan infrastruktur, Paduka Baginda turut bertitah agar sistem perundangan syariah negeri dipertingkatkan sejajar dengan kemajuan teknologi melalui penggunaan sistem Artificial Intelligence (A.I.) seperti Court Recording Transcription (CRT).
“Sistem ini membolehkan setiap ucapan dan visual di dalam prosiding direkod dan ditranskrip secara elektronik, sekali gus memberi lebih ruang kepada para hakim untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap isi kandungan perbicaraan, tanpa perlu terikat dengan catatan manual yang membebankan.
“Beta menyeru agar Kerajaan Beta menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi merealisasikan penggunaan sistem ini di Negeri Beta, agar Mahkamah Syariah kita bukan sahaja cekap dan berkualiti, tetapi juga menggambarkan Islam sebagai agama yang progresif dan berdaya saing,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

