Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa sukacita di atas prestasi ekonomi yang berada di landasan kukuh.
Paduka Baginda dalam titah menyatakan hasil kutipan negeri sebanyak RM1.22 bilion pada tahun lepas merupakan lambang kegigihan, integriti, dan keberkesanan tadbir urus Kerajaan Negeri.
“Lebih membanggakan ini merupakan tahun ketiga berturut-turut sejak 2022, Negeri Pahang mencatat kutipan melebihi RM1 bilion, suatu pencapaian hatrik yang jarang-jarang berlaku dalam sejarah pentadbiran kewangan negeri.
“Beta menyeru agar kejayaan ini menjadi pendorong untuk menggandakan lagi usaha bagi tahun 2025. Produktiviti mesti diperkasa, daya saing perlu dipertingkat, dan budaya kerja cemerlang hendaklah sentiasa menjadi amalan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita terhadap pencapaian dalam pelaksanaan 591 projek pembangunan rolling plan kelima di bawah RMK-12 melibatkan kos hampir RM381 juta.
“Di samping itu beta ingin menzahirkan rasa sukacita terhadap pencapaian memberangsangkan dalam pelaksanaan projek pembangunan rolling plan kelima di bawah RMK-12.
“Sebanyak 591 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan perbelanjaan mencecah RM381 juta iaitu 11.19 peratus daripada peruntukan tahun semasa mengatasi purata nasional sebanyak 9.47 peratus,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah dana sebanyak RM31.65 juta melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam memastikan kelestarian pembangunan negeri.
“Tambahan pula setakat 5 Mac 2025, kerajaan beta telah menerima sejumlah RM31.65 juta melalui pelbagai saluran peruntukan persekutuan bagi menyokong pembangunan infrastruktur serta penyelenggaraan kemudahan awam.
“Dana ini amat penting untuk memastikan pembangunan negeri terus lestari dan manfaatnya dirasai seluruh lapisan masyarakat,” titah baginda.
Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah baginda melihat daya tarikan pelaburan negeri semakin meningkat hasil daripada pendekatan mesra pelabur dan berpandangan jauh.
“Sepanjang tahun lalu, negeri ini berjaya memuktamadkan pelaburan komited sebanyak RM7.54 bilion melalui perjanjian-perjanjian strategik yang dimeterai.
“Impak daripada pelaburan ini amat besar, bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga membuka peluang pekerjaan, memperkasa produktiviti, dan merangsang mobiliti sosial rakyat negeri ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

