Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUALA LUMPUR, 15 APRIL 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Kita rasa kehilangan seorang tokoh, iaitu bekas Perdana Menteri. Ini sudah takdir Allah, sudah sampai masanya.
“Jadi, kita doakan supaya Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang bertempat di Dewan Perdana FELDA, di sini, semalam.
YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bersama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan turut difahamkan telah menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Kuala Lumpur, sebaik sahaja majlis berkenaan selesai.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Jenazah telah dibawa ke kediaman beliau di Persiaran Tuanku Ja’afar dan akan dibuka untuk penghormatan terakhir oleh orang ramai di Masjid Negara bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari ini sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa lembut, berintegriti tinggi serta banyak berjasa dalam kemajuan negara sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. -PAHANGMEDIA

