Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 15 APRIL 2025 : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025 mencatatkan sejarah apabila menerima kehadiran luar jangka dengan hampir 10,000 tetamu membanjiri majlis yang diadakan di Dewan Perdana FELDA, di sini, semalam.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak penganjur pada awalnya hanya menjangkakan sekitar 5,000 hingga 6,000 kehadiran, namun angka itu meningkat dua kali ganda.
“Saya difahamkan hampir 10,000 yang hadir. Kita menjangkakan dalam 5,000.. 6,000, tapi kehadiran berlipat ganda.

“Tadi (semalam) saya dapati memang ada yang tidak dapat masuk, yang belum boleh masuk. Kerusi pun penuh jadi memang di luar jangkaan.
“Jadi saya minta maaf kerana difahamkan ada makanan yang tidak mencukupi walaupun kita dah buat tambahan. InsyaAllah pada tahun hadapan kita akan cari tempat lain yang lebih sesuai… besar sikit,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis berkenaan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, majlis ini merupakan penganjuran kali kedua selepas diadakan buat pertama kalinya tahun lalu di Titiwangsa.
“Tahun lepas kita buat di Titiwangsa. Jadi kita menjangkakan kehadiran kali ini ramai jadi kita ubah sini. Tetapi, anggapan kita, jangkaan kita tidak sama yang kita jangkakan.
“Kehadirannya sungguh luar biasa. Saya ucapkan terima kasih kepada anak-anak Pahang yang berada di perantauan dan inilah semangat kita. Bila kita ada peluang untuk berjumpa.. berkumpul bersama, kita ambil kesempatan untuk berjumpa anak-anak Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

