Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 APRIL 2025 : YB. Setiausaha Kerajaan Pahang berikrar untuk menjalankan amanah bagi menangani karenah birokrasi dan ketirisan sumber di negeri ini.
Menurut Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, beliau juga akan memastikan perkhidmatan awam di Negeri Pahang efisien dan berkesan agar rakyat dapat menerima manfaatnya.
“Patik beriltizam untuk terus menumpahkan taat setia ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta terus menjalankan amanah bagi menangani kerenah birokrasi dan ketirisan sumber.
“Patik juga akan memastikan Perkhidmatan
Awam Negeri Pahang ini efisien dan berkesan ke arah pembangunan negeri yang makmur dan manfaatnya dapat diterima oleh seluruh rakyat jelata,” katanya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Kerajaan Negeri Pahang memperkemaskan dan meningkatkan sistem pentadbiran terutamanya birokrasi kerajaan dan ketirisan sumber agar lebih efektif dan teratur.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu pada 8 April menggantikan Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob yang bersara wajib setelah berkhidmat selama 36 tahun. -PAHANGMEDIA

