Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 9 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah atas perkenan pelantikan YB. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelantikan itu disusuli dengan beberapa perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memperkukuh struktur pengurusan dan penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau memaklumkan bahawa YB. Dato’ Haji Fadzilla Salleh telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang, manakala YB. Dato’ Hamadan @ Hamdan Hussin dilantik sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang dan YB. Dato’ Razihan Adzharuddin sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang.
“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, patik yakin dan percaya, jentera Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku akan terus memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat dan pelabur di Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini Kerajaan Negeri turut memperkenalkan beberapa pendekatan baharu bagi mengurangkan karenah birokrasi termasuk penurunan kuasa (tanah) kepada Pegawai Daerah.
Katanya, langkah penubuhan dan penyusunan semula beberapa agensi seperti Perbadanan Pasir Pahang, Pahang Mining Corporation dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang juga dilaksanakan bagi memperkemas urus tadbir hasil bumi dan tanah, sekali gus membantu peningkatan hasil kepada Kerajaan Negeri.
“Selaras dengan titah dan pesanan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku jua, setiap hasil yang diperolehi, akan dikembalikan semula kepada rakyat dan negeri Pahang melalui pelbagai inisiatif seperti program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dan juga projek-projek pembangunan.
“Patik percaya, pelantikan Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, anak kelahiran Pekan, serta perubahan dalam beberapa perjawatan lain dalam pentadbiran akan meneruskan tradisi kecemerlangan Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku sejak dahulu, kini dan pada masa akan datang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

