Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 07 APRIL 2025 : YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob secara rasmi menamatkan perkhidmatan beliau selepas memberikan sumbangan dan khidmat cemerlang selama 36 tahun kepada Negeri Pahang.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Zulkifli berharap agar hubungan yang terjalin sepanjang perkhidmatannya dengan semua pihak, terutama dalam Kerajaan Negeri, dapat diteruskan meskipun beliau sudah bersara.
Beliau berkata demikian selepas diraikan pada majlis ringkas persaraan beliau yang dihadiri ketua-ketua jabatan dan kakitangan pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Jerantut pada 1 Ogos 1989.
Dato’ Sri Haji Zulkifli mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Convent Cameron Highlands, SMK Clifford, dan SM Teknik Kuantan sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Perancangan Bandar di University of Wales, UK pada 1997.
Dato sri Haji Zulkifli turut mengingatkan kepada ketua-ketua jabatan agar memberikan nasihat dan tunjuk ajar secara jujur dan bertanggungjawab kepada kakitangan masing-masing.
“Berilah nasihat yang betul, berilah nasihat yang ikhlas, yang jujur, dan pastikan nasihat yang diberikan tidak menyakiti sesiapa,” katanya.-PAHANGMEDIA

