Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 APRIL 2025 : “…saya berasa amat sedih kerana kedua-dua ini aset kepada Negeri Pahang,” kongsi YAB. Menteri Besar Pahang berkenaan persaraan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan perpindahan YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kedua-dua pemimpin ini merupakan tokoh yang hebat di dalam bidang masing-masing bagi memastikan Negeri Pahang berada dalam keadaan aman dan makmur.

“Tujuan kita adakan majlis ini bukan tanda kita gembira mereka meninggalkan kita, tetapi sebagai tanda kita nak ucapkan terima kasih di atas perkhidmatan mereka berdua di Negeri Pahang.
“Saya berasa sangat terharu sebenarnya kerana kehilangan dua orang sahabat. Selain berasa amat sedih kerana dua-dua ini adalah orang hebat yang menjadi aset negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Terukir, Kenangan Selamanya bagi meraikan persaraan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, dan perpindahan YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin di Hotel Zentih.

Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob telah bersara wajib setelah berkhidmat selama 36 tahun di dalam perkhidmatan awam setelah memulakan kerjaya sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Jerantut pada 1 Ogos 1989.
Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin akan memulakan tugas sebagai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Bahagian Perbicaraan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Putrajaya berkuatkuasa 17 April ini setelah berkhidmat di negeri ini pada 29 Mac 2021. -PAHANGMEDIA

