Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 28 MAC 2025 : Golongan mahasiswa di negeri ini perlu menilai sesuatu perkara berdasarkan prestasi bagi memastikan ia bukan sekadar andaian dan mainan persepsi semata-mata.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini memandangkan segala maklumat yang sahih mahupun tidak benar dikongsi secara tanpa sempadan dan tapisan di media sosial.
“Mereka ini golongan yang terpelajar, supaya mereka dapat menilai sesuatu berdasarkan kepada prestasi. Oleh sebab sekarang ini keadaan media sosial tidak ada hujung sempadan dan terdedah kepada pelbagai andaian, persepsi, cerita-cerita yang belum tentu kesahihannya.

“Mereka harus dan wajib menganalisa setiap perkembangan yang berlaku. Sebagai contohnya kalau ada yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang ini prestasinya sangat teruk, menjadi kewajiban dan tanggungjawab mereka untuk menilai apakah yang dimaksudkan dengan prestasi itu tidak baik contohnya. Kerana prestasi ini dapat diukur dengan angka.
“Jadi kalau dilihat, dikaji, dan di analisa, kita akan tahu jawapan yang sebenarnya yang jelas menunjukkan prestasi Negeri Pahang ini alhamdulillah antara yang terbaik, dan boleh dikatakan di Pantai Timur ini kitalah yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan MAMPAN Kebangsaan di Aqua Crystal Hall Yayasan Pahang, UCYP University.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.

Menurut beliau, majlis pada hari mendapat sambutan yang begitu baik daripada barisan kepemimpinan mahasiswa daripada Negeri Pahang.
“Program ini julung-julung kali diadakan, sambutannya begitu baik, saya sangat teruja dengan anak-anak kita, siswa siswi daripada seluruh Negeri Pahang dan dapat beramah mesra dengan mereka.
“Saya juga mengambil peluang memaklumkan perkembangan semasa Negeri Pahang, apa yang Kerajaan Negeri telah buat, apa yang Kerajaan Negeri bantu siswa siswi dan banyak lagi.
“Dan mereka mendapat maklumat secara terus dan program sebegini juga sangat baik di mana seluruh kepimpinan pelajar anak Pahang yang berada di seluruh universiti di negara kita dapat bersama-sama,” katanya. -PAHANGMEDIA

